Kursus Pra Perkahwinan 2014 | Universiti Malaysia Sarawak

Assalamu'alaikum wbt. Alhamdulillah, saya telah selesai menghadiri Kursus Pra Perkahwinan selama dua hari iaitu pada 27 September dan 28 September 2014. Kursus ini merupakan anjuran Fakulti Seni Gunaan & Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak.

Kebiasaanya, kursus pra perkahwinan ini selalu diadakan setiap semester di Universiti Malaysia Sarawak sama ada dianjurkan oleh fakulti atau persatuan universiti yang lain. Yuran yang dikenakan juga murah berbanding di luar sana. Saya fikir agak untung juga lah dikenakan bayaran sebanyak RM35, tetapi diberikan makanan dan minuman sebanyak 3 kali sepanjang dua hari berkursus untuk minum pagi, makan tengah hari dan minum petang. Kalau di luar sana, bayar RM60 ke atas pun belum tentu dapat makanan dan minuman.





Kursus Pra Perkahwinan 2014 | Universiti Malaysia Sarawak

Seramai 328 peserta yang berdaftar telah mengikuti Kursus Pra Perkahwinan di Pusat Islam, UNIMAS. Para peserta terdiri daripada pelajar UNIMAS dan seorang pensyarah perempuan daripada Fakulti Sains Kognitif & Pembangunan Manusia. Kursus tersebut berjalan selama dua hari bermula jam 8 pagi hingga jam 6 petang. Setiap peserta yang hadir diberikan modul kursus pra perkahwinan beserta uncang doorgift yang berisi buku yaasin dan juga tasbih mini bermanik.




Modul yang diberikan adalah selaras digunakan untuk Kursus Pra Perkahiwan di seluruh Malaysia. Terdapat 12 slot ceramah yang perlu dihadiri oleh para peserta kursus. Sebanyak 6 slot yang telah disampaikan pada hari pertama kursus. Selebihnya bersambung pada hari kedua. Para peserta dikehendaki mengikuti kesemua slot untuk layak mendapat sijil kursus.

Para penceramah terdiri daripada warga Jabatan Agama Islam Sarawak dan juga seorang wakil daripada Mahkamah Syari'ah. Antaranya, Ustaz Haji Ahmad Napis Badok, Ustaz Saimi Bujang, Ustazah Dayang Amita Haji Awang Mohamad, Ustaz Romzi Haji Hanikal, Ustazah Erma Suryani Haji Jaafar, Ustazah Noraini Kassim, Ustazah Sabariah Haji Muhamad dan Ustzah Rogayah Haji Merdris.


Senarai Slot Ceramah di dalam Kursus Pra Perkahwinan
  1. Prosedur Perkahwinan
  2. Munakahat
  3. Pengurusan Kesihatan
  4. Ibadah
  5. Pengurusan Kewangan & Masa
  6. Komunikasi Suami & Isteri
  7. Hubungan dalam Keluarga
  8. Pengurusan Stress dan Konflik 
  9. Akhlak
  10. Aqidah
  11. Perkhidmatan Rundingan Cara di Jabatan Agama Islam
  12. Pembubaran Perkahwinan (Mahkamah Syariah)



kredit gambar: kppunimas2014


Berdasarkan daripada input yang diperoleh daripada kursus pra perkahwinan tempoh hari, alam rumah tangga dan alam perkahwinan ini memang dilihat indah di sisi luarannya. Namun, ketahuilah bahawa selepas si suami melafazkan ijab qabul, si suami dan isteri perlu sedar yang mereka mempunyai tanggungjawab terhadap suami/isteri, keluarga suami/isteri dan inshaAllah pada anak-anak yang bakal dilahirkan.

Lebih-lebih lagi kepada para suami. Tanggungjawab tergalas berat di bahu suami. Misalnya, jika isteri atau anak-anak tidak solat, suami yang akan dipersoalkan di akhirat kelak. Justeru, suami perlu membimbing isteri ke arah kebaikan. Bak kata penceramah kursus, jika suami tidak pandai agama, suami kena belajar serba sedikit dek kerana membimbing itu adalah tanggungjawab suami. Begitu juga isteri, perlu mentaati perintah suami selagi tidak bertentangan syariat kerana syurga seorang isteri terletak di tapak kaki suaminya.

Di samping itu, penceramah juga menekankan isu perceraian antara suami dan isteri yang semakin berleluasa pada masa kini. Memang benar bercerai itu halal hukumnya, tetapi ia adalah perbuatan yang paling dibenci Allah seperti yang disebut di dalam hadis. Oleh itu, komunikasi suami dan isteri amat penting di dalam rumah tangga. Jika ada permasalahan atau kesalahfahaman, suami isteri perlu menyelesaikannya dengan baik. Dalam konteks ini, suami perlu sabar, isteri pula perlu memahami. Sebaiknya cari kelemahan diri dan cari kelebihan pasangan, bukannya mencari kelemahan pasangan. Selain itu, kesabaran  dan pertimbangan yang baik juga diperlukan di saat salah seorang daripada pasangan sedang marah.

Alam rumah tangga macam air tasik, nampak cantik, tenang, TAPI sebenarnya kita tak tahu apa yang ada di dalam air tasik itu. Walau orang yang terjun ke dalamnya pun, masih banyak yang mereka tak tahu. Ada indahnya, ada bahagianya. Sebab itu kita tak boleh tergesa-gesa. Kena yakin pada takdir. Kena yakin bahawa Allah akan lepaskan kita ke dalamnya apabila kita betul-betul dah bersedia.

Terimalah rumah tangga itu sebagai medan perjuangan. Penyertaan kita ke dalamnya dengan segala kelengkapan, bukanlah jaminan kepada kemenangan. Kita tidak tahu apakah bentuk musuh yang bakal menyerang, tidak pasti bagaimanakah peritnya pertempuran yang melanda. Namun sekurang-kurangnya persediaan yang baik pada sebuah permulaan, doa kita kepadaNya tidak palsu kerana ia dilafaz selepas usaha.

Andai masih belum bersedia, persiapkan diri dalam mencari redhaNya, cintaNya, dan pengampunanNya, bukan sekadar syariatullah tapi juga sunnatullahNya. Hakikatnya dunia itu jambatan ke akhirat.

PERMULAAN YANG BAIK BUKAN SUATU JAMINAN. Setelah memilih wanita yang beragama, atau lelaki yang beragama juga, apakah bermakna rumah tangga kita sudah beroleh pelan 'takaful' perlindungan daripada musibah, pergaduhan dan penceraian?

Tidak. Sama sekali tidak.

Hakikatnya melayari bahtera rumah tangga ialah sebuah permulaan.


Ida Ahmad Azni

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pembangunan Sumber Manusia dari Universiti Malaysia Sarawak. Mula menceburkan diri dalam penulisan blog pada tahun 2009. Bercita-cita untuk menjadi HR professional yang berjaya dan mempunyai angan untuk menjadi seorang penulis.

3 comments: