How To Overcome Sunyi Ketika Masih Single?


*sekadar perkongsian & note-to-self. semua perenggan dicopy paste daripada blog Rusydee Artz.


Ketika single inilah kita ada banyak ruang dan masa untuk melaksanakan perintah-perintah Allah dan Rasulullah. Kita tidak terikat dengan sesiapa, cuma terikat dengan keluarga sahaja. Namun, perintah Allah "birrul waalidain" (berbuat baik terhadap orang tua), wajib kita penuhi samada ketika single hatta ke akhir hayat. Ketika berseorangan inilah, hati tampak lebih tenang. Tidak ada tanggungjawab seberat tanggungjawab seorang suami terhadap isteri dan keluarganya, atau tanggungjawab isteri terhadap suami dan anak-anaknya.  Ketika berseorangan inilah, mampu bertenaga untuk bangkit di waktu malam untuk qiyamullail dan bertahajjud. Ada masa untuk hafal al-Quran walaupun seminima separuh muka surat sehari. Ada masa untuk berzikir walaupun hanya 100 kali lantunan "Subhanallah wa bihamdihi" setiap hari yang dijanjikan mendapat keampunan dosa menurut sebuah hadis yang sahih.

Ada masa yang cukup untuk menimba ilmu dan menguprade iman semahunya. Atau ada masa untuk mencari pekerjaan yang baik dan bekerja bersungguh-sungguh sebagai persediaan untuk ke zon yang seterusnya iaitu alam rumahtangga. Dengan kata lain, masa single inilah dimanfaatkan sebaiknya untuk memantapkan sahsiah diri dan menyediakan diri sebagai orang yang betul-betul ready menempuh kehidupan berumahtangga yang lebih mencabar. Orang yang menganggap single adalah waktu terbaik untuk berkawan bebas tanpa batasan adalah orang yang sempit pemikirannya. Ia mengikut nafsunya, bukan tunduk pada imannya.

Sepi logiknya datang bila anda tidak sibuk dengan sesuatu. Ada waktu lapang terbuang. Mana mungkin orang yang sibuk tiba-tiba merasa sepi? Jadi, bila datangnya sepi, fikirlah bagaimana caranya untuk meraih segala nikmat di Syurga Allah ini. Antaranya fikir:

1. Bagaimana caranya untuk aku solat lima waktu dengan mengurangkan rasa malas ketika bersolat?
2. Bagaimana caranya untuk aku cuba praktiskan solat-solat sunat sekurang-kurangnya Solat Sunat Dhuha setiap hari?
3. Bagaimana caranya untuk aku bangkit di sepertiga malam untuk melaksanakan Tahajjud?
4. Bagaimana caranya untuk aku jadi lebih soleh dan solehah?

Bila dah ada jawapannya, susun-atur baliklah hidupmu. Biar hidup lebih bermakna. Bila kita sibuk untuk melaksanakan solat-solat ini sahaja, sudah cukup untuk membuatkan kita tak ada masa nak layan sepi. Hidup penuh beribadah. Letakkan dalam kepala:

"Pasangan yang ditakdirkan akan datang jua dengan usaha bila tiba masanya yang telah ditetapkan Allah. Sabarlah."

Setiap hari upgrade diri. Setiap hari cuba jadi yang terbaik. Untuk apa semua ini? Supaya tidak malu berhadapan dengan Allah dan Rasulullah di akhirat nanti. Masa muda lah ada kudrat yang cukup. Bila masa-masa muda kita dah biasa rajinkan diri bersolat sebagai contoh, masa-masa tua nanti akan secara automatiknya biasa buat rajin bersolat dan solat malam.

Jika masa muda tak biasa, masa tua lagilah liat. Tidak logik bila masa muda malas ke kuliah agama, masa tua tiba-tiba menjadi rajin, kecuali bila betul-betul dah insaf. Tapi, benarkah kita sempat insaf dan berubah masa tua nanti? Jangan sampai sakit dan tak berdaya baru kau nak ingat Dia. Ingat, amalan masa muda lebih berkualiti dari amalan masa tua.

Kita hanya hamba yang lemah. Wajib tunduk mengalah pada Allah dan Rasulullah. Wajib buang sikap degil dan malas paksa diri taat kepada Allah. Jika kita sendiri tidak paksa diri sendiri, siapa lagi yang mampu?

Jika kita hidup berseorangan, tapi kita malas nak masak, malas nak keluar beli makanan, tak mungkin nasi akan terhidang dengan magiknya di hadapan kita? Begitu jugalah proses berubah. Kita takkan jadi baik jika kita tak cuba untuk jadi baik. Kita takkan cinta Allah jika kita tak cuba untuk mencintai.

Kalau dah tahu kita ini hanya hamba, maka hiduplah cara hamba. Taat pada Allah, taat pada Rasulullah, taat pada al-Quran dan Hadis, taat pada ibu bapa dan guru (pada bukan perkara maksiat), taat pada ulama-ulama. Banyakkan bersolat. Kenapa perlu banyak bersolat? Dalam solatlah masa yang paling banyak sekali kita sebut nama Allah. Kita kan malas, kita jarang berzikir. Jadi, dengan bersolatlah caranya.

Terapi sepi paling mujarab adalah:
Sabar dan solat. Sebab solat adalah pakej lengkap. Boleh berdialog dengan Allah melalui al-Fatihah, ada zikir-zikir ketika rukuk, i'tidal, sujud, duduk antara dua sujud, tahiyyat awal dan akhir, ketika salam. Ada taubat dan keampunan. Ada jalan keluar dari apa jua masalah.

Kehidupan sebagai seorang yang single tidak dapat tidak, mesti mengingati mati setidak-tidaknya sekali dalam 24 jam. Tidak perlu fokus pada soal hati, tapi fokuslah pada soal mati. Soal hati belum tentu jadi, tapi soal mati pasti terjadi!

Jadi, tolong. Jangan buang masa dengan terlampau fikir soal hati. Di saat ada ruang dan waktu yang panjang sebelum kamu berkahwin, gunakan sebaiknya. Amalkan mengingati mati, biarkan jadi tabiat hatta selepas kahwin dan akhir hayat.

Sebelum bernikah, pastikan hidup ketika bergelar bujang dipenuhi dengan amalan-amalan golongan Ashaabul Yamin atau golongan kanan yang mendapat rahmat Syurga Allah di akhirat kelak. Allah sudah berjanji dalam surah al-Waqi'ah pada ayat 91 dengan janji yang baik:


فَسَلَامٌ لَّكَ مِنْ أَصْحَابِ الْيَمِينِ
maka keselamatan bagimu kerana kamu dari golongan kanan.

dan Allah janji buruk bagi mereka yang mengikut golongan sebaliknya, berbuat murka Allah pada ayat 92-94 dalam surah al-Waqi'ah:


 وَأَمَّا إِن كَانَ مِنَ الْمُكَذِّبِينَ الضَّالِّينَ
Dan adapun jika dia termasuk golongan orang yang mendustakan lagi sesat,

فَنُزُلٌ مِّنْ حَمِيمٍ 
maka dia mendapat hidangan air yang mendidih,

وَتَصْلِيَةُ جَحِيمٍ 
dan dibakar di dalam neraka.


Yakinlah jika kamu ketika bujang ini berubah dan cuba berubah untuk menjadi seorang baik, insyaAllah akan ditempatkan dalam golongan kanan. Jangan waktu bujang ini dihabiskan dengan berfoya-foya, berjoli sana-sini, "dah tua baru nak bertaubat", "waktu yang terbaik untuk mencuba jadi seperti org bujang liar." Waktu muda inilah waktu untuk merubah diri. Bukan waktu lanjut usia. Waktu muda inilah waktu tarbiyyah diri paling berkesan. Waktu terbaik untuk jadi baik dan buat baik. Yang buat baik balasnya Syurga. Yang biarkan diri sesat, balasnya neraka. 

Hidup berseorangan, sebelum tibanya waktu kamu hidup berdua dan berkeluarga adalah waktu terbaik untuk menguji samada diri meremehkan ayat-ayat al-Quran atau tidak. Senang sahaja, jika kita masih sibuk dengan hal kita sendiri dan terus menerus tidak melakukan persediaan untuk menghadap Ilahi apatah lagi untuk upgrade iman dan taqwa diri sendiri..maka secara tak langsung sudah meremehtemehkan nasihat-nasihat al-Quran.


Ida Ahmad Azni

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pembangunan Sumber Manusia dari Universiti Malaysia Sarawak. Mula menceburkan diri dalam penulisan blog pada tahun 2009. Bercita-cita untuk menjadi HR professional yang berjaya dan mempunyai angan untuk menjadi seorang penulis.

No comments:

Post a Comment