Antara Si Soleh dan Si Solehah

Salam mahabbah. Apa khabar sahabat semua? Moga sentiasa dalam lindungan Allah.

Kelmarin saya ada baca artikel-artikel yang dihantar oleh Akhi Aizuddin Abdul Hamid di iLuvIslam. Saya kagum dengan kalam penulisan Akhi Aizuddin. Akhi Aizuddin banyak menyampaikan tulisan bisunya dalam bentuk penceritaan dan juga dialog. So, tak lah boring bila kita baca. Selebihnya, yang utama apa yang dia sampaikan dapat diterima dan difahami oleh pembaca sekaligus boleh direnungkan serta diambil sebagai contoh atau wadah agar dapat memperbaiki diri pembaca itu sendiri. Ok, saya tak nak berceloteh panjang dah. Saya nak repost balik satu artikel dari blog Akhi Aizuddin.

Antara Si Soleh dan Si Solehah





Sifat tawaduk seorang lelaki

Cuti sekolah dimanfaatkan abi sepenuhnya. Membaca beberapa buah buku dan majalah yang masih lagi tidak terbaca. Majalah Solusi. Antara majalah Islam yang berkonsepkan santai. Abi langgan setiap bulan. Selain itu, masa juga banyak diluangkan bersama keluarga. Itu adalah antara ‘kelebihan’ menjadi ustaz atau guru di sekolah. Banyak cuti. Tak dinafikan.

Telefon berdering. Paparan skrin menunjukkan ‘Ahmad is calling’. Ahmad merupakan salah seorang anak usrah abi di universiti berdekatan rumah abi. Seorang yang soleh dan tawaduk. Malah, seorang yang berkepimpinan dan dihormati kebanyakan orang. Hebat perwatakannya.

“Assalamualaikum, ustaz. Ustaz apa khabar?” Ahmad memulakan bicara.

Abi meletakkan majalah Solusi di sebelah. Fokus kepada apa yang akan diperkatakan Ahmad. Musykil juga. Ahmad tidak pernah menelefon abi pada awal pagi.

“Waalaikumussalam, Ahmad. Alhamdulillah, sihat. Enta? Owh, ada apa ini, telefon ustaz pagi-pagi ini?”

“Maaf mengganggu ustaz. Ana cuma nak minta pendapat ustaz. Boleh?”

“InshaAllah boleh. Apa yang enta ingin katakan?”

“Alhamdulillah. Ana sudah banyak kali solat istikharah, ustaz. Sekarang ini ana nak istisyarah pula dengan ustaz. Ana minat akan seorang muslimat. Ustaz kenal muslimat itu. Namanya Siti. Setiausaha badan agama di universiti ana. Tetapi, ana tidak tahu samada itu hanyalah perasaan kagum atau benar-benar cinta. Apa pendapat ustaz?”

“Hmm. Yang pertama, ustaz puji tindakan enta kerana enta mampu menguruskan perasaan itu dengan baik. Enta tidak berhubung dengan muslimat itu, tetapi enta istikharah dan istisyarah. Tidak ramai pemuda seperti enta. Alhamdulillah. Yang kedua, ustaz puji tindakan enta kerana enta memilih seorang muslimat yang solehah untuk dijadikan calon isteri. Ustaz kenal peribadi beliau. Ustaz berpendapat enta sudah memilih calon zaujah yang sesuai, demi memastikan kelangsungan dakwah enta pada masa akan datang.”

“Tetapi, ada sesuatu perkara yang ana masih lagi fikirkan, ustaz. Ana rasa tidak layak untuk muslimat itu. Beliau seorang yang hebat peribadinya. Bertudung labuh. Kerja dakwah dan tarbiah sangat hebat. Istiqamah melakukan usrah. Malah, sangat menjaga ikhtilat antara lelaki bukan mahram. Lemah lembut. Tetapi, tegas dalam melakukan kerja. Beliau seperti sekuntum mawar berduri. Ana rasa tidak layak untuk muslimat itu. Itu yang membuatkan ana ragu-ragu untuk merisik dan taaruf dengan beliau, serta menggunakan perantaraan ustaz sebagai orang tengah."

“Hmm. Enta yang rendah diri sangat ini.”

Sindrom ‘aku tidak layak’

Tak dinafikan. Ramai yang berfikiran seperti ini. Samada yang soleh mahupun yang solehah. Meletakkan kayu ukur ‘aku tidak layak’, maka membuatkan diri rasa tidak mahu untuk merisik atau taaruf. Abi pernah berbicara dengan seorang sahabat. Beliau berkata; jika semua rasa tidak layak, maka siapa yang akan berkahwin yang si soleh dan si solehah ini?

Abi terkesan dengan kata-kata beliau. Perkara ini sering terjadi kepada si solehah. Disebabkan si solehah itu hebat peribadinya, membuatkan si soleh rasa tidak layak untuk si solehah. Menyebabkan tiada siapa yang ingin merisik si solehah yang hebat itu, untuk dijadikan calon isteri.

Malah, perkara ini juga sering terjadi kepada si soleh. Si soleh merisik si solehah. Disebabkan si soleh itu hebat peribadinya, menyebabkan si solehah itu rasa tidak layak untuk si soleh, sungguhpun telah dirisik oleh si soleh. Maka, membuat keputusan menolak untuk bertaaruf, kerana si solehah rasa tidak layak untuk si soleh.

Jangan terus membuat kesimpulan melulu bahawa ‘aku tidak layak’. Tetapi, harus diingat. Perlu juga ukur baju di badan sendiri! Jangan perasan bahawa diri itu si soleh atau si solehah. Jika solat berjemaah pun tidak istiqamah, malas menghadiri majlis ilmu, diri sendiri tidak terurus, masa banyak dihabiskan dengan perkara yang sia-sia, maka layakkah untuk memiliki soleh/solehah sebagai pendamping?

Maka, jadikan diri sendiri sebagai kayu ukur. Jangan terlalu merendah diri. Disamping itu, istiqamah untuk melengkapkan diri dengan ilmu agama. Kerana sibuk melengkapkan diri lebih penting daripada sibuk mencari calon isteri. Tetapi, abi tidak maksudkan mencari calon isteri tidak penting!


Beranikan diri

Jika sudah bertemu yang soleh mahupun solehah, lakukan istikharah dan istisyarah. Jadikan Allah sebagai tempat yang utama untuk kita bergantung, dalam membuat sesuatu keputusan. Bukan hanya dengan nafsu semata-mata. Pilih untuk berserah diri kepada Allah.

Jika sudah dapat ketenangan, maka teruskan merisik. Tetapi, gunakan orang perantaraan yang sudah berkahwin atau baitul muslim. Sebab apa? Supaya lebih terjaga perhubungan antara si soleh dan si solehah. Syaitan akan sentiasa berusaha untuk menggoda manusia supaya melakukan dosa, dalam keadaan kita sedar atau tidak. Maka, berhati-hati!

Mulakan langkah seterusnya

“Haa, enta faham tak, apa yang ustaz telah terangkan tadi? Jangan terlalu rasa rendah diri. Ustaz rasa enta layak untuk Siti. InshaAllah. Teruskan berdoa. Kita hanya mampu merancang, tetapi Allah sebaik-baik perancang. Sebelum ustaz bernikah, ustaz juga rasa tidak layak untuk zaujah ustaz. Beliau seorang yang hebat peribadinya. Bertudung labuh dan berpurdah. Tetapi, ustaz beranikan diri. Alhamdulillah. Sudah enam tahun berkahwin dan mempunyai dua orang anak.”

“Hmm. Syukran jazilan atas nasihat dan bimbingan ustaz. InshaAllah. Ana yakin dengan pilihan ana. Ana nak minta tolong ustaz boleh? Boleh ustaz dapatkan biodata muslimat itu, melalui baitul muslim? Ana ingin merisik beliau. Ana ingin tahu visi dan misi hidup beliau. Setelah itu, jika sudah yakin, ana berhajat untuk taaruf pula dengan beliau.”

“InshaAllah, ustaz akan usahakan. Semoga Allah permudahkan urusan enta.”


sumber: Blog Akhi Aizuddin

Ida Ahmad Azni

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pembangunan Sumber Manusia dari Universiti Malaysia Sarawak. Mula menceburkan diri dalam penulisan blog pada tahun 2009. Bercita-cita untuk menjadi HR professional yang berjaya dan mempunyai angan untuk menjadi seorang penulis.

No comments:

Post a Comment