Iktibar dan Pengajaran daripada Drama Warkah Cinta

Alhamdulillah, hari ini saya ingin berkongsi serba sedikit pengajaran yang boleh kita dapat melalui drama Warkah Cinta dengan anda semua.

Iktibar dan Pengajaran daripada Drama Warkah Cinta

Terdapat banyak scene cerita yang dipaparkan serta boleh dijadikan iktibar. Tidak kira lah sama ada iktibar itu di sudut positif ataupun negatif, kedua-duanya adalah baik untuk direnungkan oleh kita semua.

Yang baik kita cuba teladani dan jadikan contoh untuk menjadi muslim dan muslimah yang baik di kaca mata Allah. Yang kurang baik kita jadikan pengajaran dan cuba hindarkan diri daripada terjerumus dalam hal-hal yang tidak baik dan mendatangkan dosa kepada Allah.




Sekarang, mari kita cuba selami beberapa scene dalam Warkah Cinta yang boleh diambil pengajaran.



En. Latif (papa Wardah) suka berjudi dan berhutang dengan ayah Shamsul. Untuk memperoleh wang dengan mudah, dia mengambil barang kemas isterinya untuk digadaikan untuk bertaruh dalam judi. En. Latif juga sanggup memukul isterinya semata-mata ingin mengambil barang kemas yang mama Wardah simpan untuk kegunaan Wardah di universiti. Kerana nafsu untuk berjudi, akal waras seorang bapa hilang dan rela mencederakan isteri sendiri tanpa mengenal erti kasihan. Selain itu, En. Latif juga umpama menjual anaknya dengan cara ingin menjodohkan Wardah dengan Shamsul supaya dia dapat melangsaikan hutangnya dengan ayah Shamsul. Betapa kejinya perbuatan seorang bapa yang sedemikian. Seterusnya, apabila En. Latif mengetahui bahawa isterinya membawa Wardah ke lapangan terbang untuk bertemu Amir, dia sanggup memukul isterinya sendiri sehingga patah tulang kaki dan rusuk. Sungguh tidak berperikemanusiaan. Seharusnya seorang bapa perlu melindungi anak dan isteri, menyediakan keperluan hidup serta memberikan didikan agama yang secukupnya. Tapi, papa Wardah bukanlah seorang yang menitikberatkan soal agama dalam kehidupan. Dia hanya mementingkan material kebendaan sahaja. Contohnya, dia tidak pernah solat dan tidak pernah mengimamkan isteri dan anaknya ketika solat. Wardah cuba mengejutkan papanya supaya bangun solat Subuh tetapi, papanya tetap tidak mahu bangun dan mengganggap itu sebagai gangguan tidurnya. Jadi, wahai rijal carilah ilmu akhirat supaya kebahagian isteri dan anak-anak kalian terjamin di dunia dan akhirat.



Zaki (sahabat kepada Amir dan Rahim) berminat untuk mengenali Wardah. Untuk memulakan tujuannya itu, dia meminta bantuan Amir untuk menulis warkah kepada Wardah. Tanpa disedari, Rahim dapat mengetahui tentang hal ini dan cuba menasihati Amir. Namun, Wardah dapat merasakan bahawa warkah itu bukan ditulis oleh Zaki kerana bahasa yang digunakan agak puitis. Wardah bertemu Rahim, sepupunya untuk mengesahkan hal tersebut. Setelah mengetahui kebenaran, Wardah memutuskan untuk tidak membalas semula warkah Zaki, sebaliknya Wardah menulis warkah untuk Amir dan meminta bantuan Rahim untuk mengeposkannya kepada Amir. Suatu hari, Zaki terdengar perbualan Amir dan Zaki di kelas tentang surat yang dikirim Wardah untuk Amir. Zaki bengang dan dia ingin mengenakan Amir. Zaki membuat laporan kepada guru disiplin dan Amir didenda untuk membaca warkah tersebut sewaktu perhimpunan serta dirotan di bilik guru. Begitu rapuhnya persahabatan mereka bertiga disebabkan oleh seorang perempuan iaitu Wardah. Kerana Wardah, Zaki sanggup mengenakan Amir, sahabatnya sendiri. Walaubagaimanapun, Amir tetap bersangka baik dengan kejadian itu dan tidak menyalahkan Zaki. Amir menasihati Rahim supaya tidak menyalahkan Zaki kerana tidak mahu persahabatan mereka renggang. Selain itu, Amir cuba minta maaf sebanyak dua kali kepada Zaki. Amir akur dengan tindakan Zaki yang masih lagi marah dan tidak menghiraukan kata maafnya. Di sini, kita dapat lihat peribadi Amir yang merendah diri dan pemaaf yang sangat wajar diteladani. Zaki akhirnya sedar akan sikap dinginnya terhadap Amir selama ini melalui insiden yang ditimpa Amir semasa Amir ingin menyelamatkan Zaki daripada dipukul oleh samseng upahan Shamsul. Zaki menyesal dan mengucapkan terima kasih serta maaf kepada Amir. Setiap yang berlaku ada hikmahnya, lambat atau cepat sahaja bagi seseorang untuk sedar akan kesilapannya.



Sewaktu di Mesir pula, Izzudin juga seperti Zaki ingin merebut hati Balqis, pelajar terbaik di universiti. Izzudin memulangkan semula beg duit yang dicopet oleh lelaki Arab kepada Balqis dan mengaku bahawa dia lah yang menjadi hero kepada Balqis. Padahal, Amir yang bergelut dengan lelaki Arab tersebut sehingga tercedera tangannya dan berjaya mendapatkan semula beg duit itu. Tapi, senang sahaja Izzudin mengambil kesempatan di sebalik peristiwa itu semata-mata ingin Balqis terhutang budi padanya. Rozmi (sahabat Amir dan Izzudin) mengetahui perkara tersebut dan menceritakan kepada Amir. Amir meleraikan perselisihan antara Rozmi dan Izzudin dan mengatakan dia tidak kisah tentang hal beg duit itu. Amir menasihati Rozmi supaya bersangka baik supaya persahabatan mereka bertiga tidak terjejas. Sekali lagi, Amir membawa watak yang baik. Dia seorang yang mementingkan persahabatan dan tidak menunjuk-nunjuk bahawa dia yang menyelamatkan beg duit Balqis. Seterusnya, Izzudin sekali lagi berbohong di depan Atifah dan Balqis. Izzudin mengatakan bahawa dia yang menyelamatkan Balqis daripada terlanggar kereta. Dia cuba mengambil kesempatan supaya nampak baik di mata Balqis dan Atifah. Sebenarnya Amir yang berada di tempat kejadian dan menyelamatkan Balqis. Sikap Izzudin tidak patut dicontohi kerana dia ingin mencapai hasrat untuk memikat hati Balqis dengan cara kotor.



Apabila Balqis menolak lamaran Izzudin dan mengetahui hal yang sebenar, Izzudin berasa sangat geram dan marah kepada Amir. Dia menyerang Amir yang sedang dalam kesakitan dan memutuskan untuk keluar dari rumah sewa. Dia menuduh Amir yang membocorkan perkara itu kepada Balqis, padahal Rozmi yang menceritakan kebenaran tersebut kepada Atifah dengan niat yang baik. Sebelum pulang ke Malaysia, Amir bertemu Izzudin untuk memohon maaf walaupun dia sendiri tidak salah. Namun, Izzudin menyuruh Amir pulang cepat ke Malaysia dan dia tidak membenarkan Amir balik lagi ke Mesir. Dia juga menolak huluran tangan Amir untuk bersalaman dengannya. Sampai begitu sekali Izzudin memperlakukan Amir dan tidak menghiraukan maaf Amir. Namun, Amir tetap dengan wataknya yang sentiasa sabar dan suka meminta maaf. Selepas Amir pulang ke Malaysia, Rozmi bertemu dengan Izzudin dan menceritakan hal sebenar kepada Izzudin. Izzudin menyesal kerana memperlakukan sahabatnya, Amir yang sentiasa baik dengannya. Dia lebih menyesal apabila mengetahui Amir sakit dan bakal menjalani pembedahan. Izzudin mula berubah kepada yang lebih baik dan menunaikan hasrat Amir yang meminta Izzudin untuk melihat keputusan peperiksaan Amir.



Gambar di atas adalah scene ketika upacara akad nikah Shamsul dan Wardah. Scene ini patut diberi pujian kerana tiada sentuhan antara Shahrizan Salleh(Shamsul) dan Heliza Helmi(Wardah). Maksudnya tiada scene upacara pembatalan air sembahyang seperti drama-drama dan filem-filem yang lain. Scene ini menitikberatkan syariat Islam yang tidak membenarkan sentuhan antara lelaki ajnabi dan perempuan ajnabi ketika berlakon. Yang hanya ada, ialah scene menyarung cincin yang dilakukan oleh ibu Shamsul ke jari manis Wardah. Itu sahaja. Scene yang terbaik! Alhamdulillah.



Dalam Warkah Cinta, Shamsul membawa watak yang kurang baik. Shamsul selalu menggangu Wardah di tepi jalan dan berniat untuk menyentuh Wardah. Selain itu, dia juga mengugut Wardah. Shamsul menyatakan keluarga Wardah akan ditimpa kesusahan sekiranya Wardah tidak mahu menerima lamarannnya. Selepas berkahwin dengan Wardah, Shamsul masih tertekan kerana Wardah masih lagi tidak mencintainya. Apabila Wardah menyuruhnya solat dan membaca al-Quran, Shamsul menjadi marah dan memukul Wardah. Akhirnya Shamsul hilang pertimbangan lalu memandu dengan had laju yang tinggi selepas Wardah menyatakan bahawa Wardah sangat membencinya sehingga mereka berdua terbabit dalam kemalangan lalu meninggal. Betapa deritanya Wardah hidup bersama lelaki seperti Shamsul, namun dia redha dan pasrah atas ketentuan Allah sehingga Allah mengambil nyawanya.



Secara kesuluruhannya, Amir banyak membawa watak yang baik dalam drama ini. Amir amat disegani oleh imam masjid kampungnya kerana anak muda sepertinya yang hidup berlandaskan syariat. Amir diberi kepercayaan oleh imam kampungnya supaya mengimamkan orang kampung semasa solat berjemaah. Walaupun imam kampungnya selalu memuji kebaikan dirinya, Amir tetap merendah diri dan berkata masih banyak ilmu yang perlu dia pelajari. Selain itu, Amir juga gemar bertanya kepada Ustaz Hamdi tentang perkara yang dia kurang faham. Amir juga tetap mempertahankan dirinya daripada meluahkan perasaan kepada perempuan. Dia berazam untuk meluahkan perasaan cinta kepada isterinya yang sah sahaja. Amir juga mempunyai sikap kegigihan dan keazaman yang tinggi, walaupun dia tahu dirinya sakit, dia tetap berusaha sebaik mungkin untuk membawa segulung ijazah dari Mesir.



Amir juga suka memberi nasihat kepada orang lain. Amir cuba menyedarkan Wardah supaya tidak menyakiti diri sendiri kerana putus asa selepas Amir menolak cinta Wardah. Amir juga menasihati Wardah supaya bersangka baik dengan Allah dan akur dengan kehendak Allah. Amir tidak mahu Wardah terus bergantung kepada manusia tanpa memikirkan Allah yang sentiasa ada untuk hamba-Nya. Selain itu, Amir menegaskan prinsipnya, “Selama-lamanya kelembutan tak kan pernah tewas dengan kekerasan” kepada Shamsul. Melalui prinsip itu, Amir cuba memberitahu bahawa hanya kelembutan sahaja yang penting dalam soal hati. Amir cuba menasihati Shamsul supaya berubah dan bertaubat untuk memiliki cinta Wardah dengan cara yang baik.


Setakat itu sahajalah perkongsian Ida. Moga kita sama-sama renungkan iktibar di sebalik drama Warkah Cinta ini. Rabbuna yusahhil. Insya-Allah.

Wallahu’alam.


  • Klik DI SINI jika nak tengok atau download drama WARKAH CINTA

Ida Ahmad Azni

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pembangunan Sumber Manusia dari Universiti Malaysia Sarawak. Mula menceburkan diri dalam penulisan blog pada tahun 2009. Bercita-cita untuk menjadi HR professional yang berjaya dan mempunyai angan untuk menjadi seorang penulis.

No comments:

Post a Comment