RAMADHAN PERGI, MERDEKAKAH DIRI?



Tahun ini, selepas Ramadhan pergi, Syawal pula datang. Bersama dengan itu, tinggal beberapa hari sahaja lagi,kita juga akan menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia dalam bulan Syawal ini.

Maka, kita perlu bertanya pada diri, apakah kita telah merdekakan diri kita?

Apa maksud merdeka yang sebenarnya?

Adakah merdeka itu bila mana negara kita bebas daripada cengkaman penjajah-penjajah asing yang pernah menjajah negara kita dahulu?

Tidak. Tidak hanya sekadar itu.

Merdeka sebenar adalah bila mana kita berjaya membebaskan diri daripada belenggu nafsu yang mengawal diri kita.




Biar kita yang mengawal nafsu, bukan nafsu yang mengawal kita.

Nafsu itu penting dan satu keperluan untuk kita. Tanpa nafsu, kita tidak miliki rasa untuk bekerja. Kita tidak akan miliki keinginan untuk makan minum, tidur dan berpasangan.

Allah ciptakan malaikat tanpa nafsu, sebab itu, malaikat tidak ada keinginan terhadap apa yang diingini oleh manusia.

Ia satu keperluan, tetapi perlukan kawalan.
Bila hilang kawalan, ia akan menjadi lawan.

Kata Ibn Jauzi dalam Saidul Khotir :

“Hawa nafsu manusia itu ibarat seekor beruang dengan leher yang diikat rantai. Jika rantai itu dikencangkan oleh pemiliknya, maka ia akan berhenti mengancam. Hanya saja, bezanya dengan manusia, ada yang mengikat hawa nafsunya dengan rantai dan ada pula yang mengikatnya dengan hanya sehelai benang.”

Maka, Allah S.W.T anugerahkan Ramadhan sebagai medan untuk kita mengawal nafsu kita. Puasa itu sendiri adalah sunnah Nabi bagi sesiapa yang ingin berkahwin tetapi tidak berkemampuan. Maka, dianjurkan untuk berpuasa bagi menyekat dan mengawal nafsu supaya tidak menjadi liar.

Allah S.W.T belenggu syaitan dan jin dalam bulan Ramadhan, dan Allah S.W.T tinggalkan nafsu sebagai satu-satunya pendorong dalam diri kita.

Jika dalam Ramadhan, kita masih gagal mengawal nafsu di celah-celah kerahmatan dan keampunan Allah S.W.T yang sangat melimpah-ruah ini, maka apalagi bila di luar Ramadhan?


MUSUH MEMPERGUNAKANNYA UNTUK MEMPERDAYAKAN KITA

Unsur nafsu itulah yang dipergunakan oleh musuh untuk merosakkan kita.

Lihatlah, jahiliah telah mempergunakannya untuk menguasai kita. Berapa ramai yang telah berjaya dirosakkan kerana pengaruh nafsu?

Mereka (musuh) menyuntik jarum-jarum halus melalui pengaruh media massa, yang menayangkan contoh-contoh keruntuhan peribadi masyarakat mereka, akibat nafsu yang mendominasi.

Hari ini, masyarakat kita telah kehilangan identitinya sendiri bila men ‘tauladani’ apa yang diwar-warkan oleh musuh kita itu sebagai kemajuan.

Kita sangat-sangat sedih bila melihat keadaan ini.

Mereka yang berzina dan melahirkan anak-anak luar nikah, hari ini, bukan lagi satu yang pelik, tetapi satu kebiasaan dalam masyarakat.

Lihatlah, bila nafsu tidak dikawal, maka perhubungan jantina menjadi kebebasan yang tiada kawalannya.

Buang bayi di tandas, dicampak merata-rata. Itulah kesan apabila menjadi ‘pak turut’ hawa nafsu.

Bahkan, musuh tertawa riang bila melihat ummat Islam ini bilangan sahaja ramai, tetapi akhlak dan peribadinya telah runtuh, kosong dan tiada nilai.

Tidak salah perhubungan jantina itu jika di ‘channel’kan pada saluran yang betul, iaitu saluran IMAN, satu-satunya saluran halal yang Allah S.W.T tetapkan, iaitu melalui pernikahan.

Makan, bukan suatu kesalahan. Tetapi, mereka yang makan berlebihan, terlalu kekenyangan hingga timbul penyakit obesiti, itu adalah salah. Penyakit yang tidak pernah ada di zaman Rasulullah S.A.W.

Lihatlah, bila nafsu tidakdikawal, kita makan tidak pada kadarnya, tetapi makan mengikut kehendak.

Akhirnya, timbullah penyakit-penyakit lain, sesak nafas, sakit jantung dan sebagainya.
Maka, ramailah umat Islam yang ‘mati’ kekenyangan (malas bekerja dan kurang usaha), dan musuh tertawa bangga melihat perancangannya berjaya.

Lihatlah, apa yang telah musuh lakukan dengan nafsu.


PENUTUP : MERDEKAAN DIRI ANDA !




Keinginan-keinginan yang timbul daripada nafsu perlu dikawal dengan IMAN.

Biar IMAN menentukan hala tuju nafsu kita.
Biar IMAN yang mengawal nafsu kita.

Barulah nanti, musuh akan penat dan terduduk keletihan kerana tidak berjaya merosakkan kita.

Janganlah terjadi sebaliknya pula.

Kita terkinja-kinja melompat, menjerit dan melaungkan ‘MERDEKA’, tetapi musuh di luar tertawa kerana kebodohan kita yang masih dijajah oleh nafsu !




Ida Ahmad Azni

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pembangunan Sumber Manusia dari Universiti Malaysia Sarawak. Mula menceburkan diri dalam penulisan blog pada tahun 2009. Bercita-cita untuk menjadi HR professional yang berjaya dan mempunyai angan untuk menjadi seorang penulis.

No comments:

Post a Comment